NILAI: Satu rangka manusia tidak sempurna ditemukan di tepi jalan berhampiran lereng bukit di Kilometer (KM) 24.5 Lebuh Raya Kajang–Seremban (LEKAS) arah utara, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu kira-kira jam 11.30 pagi pada 2 November daripada seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
“Siasatan awal mendapati terdapat beberapa bahagian tulang yang masih berkelompok dan dipercayai milik seorang manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, menyebabkan identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
“Tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian, namun siasatan lanjut sedang dijalankan. Turut dijumpai berhampiran rangka ialah sehelai seluar sukan berwarna gelap dengan dua jalur menegak kuning atau hijau di bahagian paha, dipercayai milik individu berkenaan,” katanya.
Abdul Malik meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara atau rakan sejak kebelakangan ini agar tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Mantin di talian 06-7581222 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Syafiq Azmy di talian 018-2247743,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang peka dan membantu pihak polis dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Nilai sentiasa terpelihara.










