LUMUT: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan sesekali bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus menutup desakan beberapa pihak yang mahu ia kembali ‘bersendirian’ di gelanggang politik.
Sebaliknya, Umno akan terus menggunakan lambang dacing Barisan Nasional (BN) yang sudah sinonim dengan perjuangan parti sejak puluhan tahun, sambil memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan komponen lain termasuk MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan juga Pakatan Harapan (PH).
“Desakan supaya Umno bertanding solo ini bukan benda baharu. Semalam ketika saya di Johor, pun sama… sebelum ini di Kedah pun begitu.
“Ada yang mahu salahkan rakan-rakan dalam BN dan PH kononnya punca kita kalah. Tapi hakikatnya, Umno sejak awal penubuhan tak pernah bertanding sendiri,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lumut semalam.
Turut hadir Ketua Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Umno Lumut, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Dalam ucapannya, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan bahawa kekalahan Umno dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini berpunca daripada kerjasama erat parti itu dengan BN dan PH.
Beliau sebaliknya mengingatkan bahawa sejarah panjang Umno menunjukkan kekuatan parti sentiasa terletak pada asas kerjasama politik yang kukuh, bukan berdiri sendirian.
Dua hari lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengesahkan bahawa parti itu tidak akan bertanding secara solo pada PRU16, memandangkan pendekatan kerjasama politik telah terbukti menjadi nadi utama kekuatan Umno dalam landskap politik negara yang sentiasa berubah.
“Kalau kita tengok sejarah pun, Umno bukan parti yang bergerak sendirian. Kerjasama politik itulah yang menjadikan kita dominan dan terus relevan hingga hari ini,” katanya.