KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak gentar untuk berdepan di mahkamah berhubung kenyataan yang dikeluarkannya terhadap bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.
Rafizi berkata, beliau sudah menerima surat tuntutan daripada firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Farhash pada 22 Ogos lalu, namun menegaskan kenyataan yang dibuat olehnya adalah berdasarkan fakta.
“Saya berdiri teguh dengan kenyataan tersebut dan bersedia mempertahankan semua fakta di mahkamah. Perkara ini juga telah saya serahkan kepada peguam saya, Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, sekiranya saman difailkan, ia akan membuka ruang kepada peguamnya untuk menyoal balas isu-isu yang sering menjadi persoalan ramai.
Sebelum ini, Farhash melalui surat “cease and desist” menuntut Rafizi memohon maaf secara terbuka, menarik balik serta memadam kenyataan yang dimuat naik dalam siaran langsung di Facebook pada 20 Ogos lalu.
Surat tersebut mendakwa kenyataan Rafizi secara langsung mengaitkan nama Farhash dengan serangan terhadap anaknya serta urusan melibatkan beberapa syarikat.
Menurut peguam Farhash, tuduhan itu bukan sahaja palsu dan mengelirukan, malah telah mencemar reputasi anak guam mereka ketika siasatan polis masih berjalan.
“Penerbitan video berkenaan telah dilakukan dengan niat jahat tanpa memastikan kebenaran, sekali gus menjejaskan nama baik anak guam kami,” jelas surat itu.
Farhash memberi tempoh 48 jam kepada Rafizi untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil tanpa sebarang rujukan lanjut.