Rafizi: Isu Nepotisme Tidak Dapat Dielak Bila Nurul Izzah Tanding Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli secara terbuka mengakui bahawa isu nepotisme tidak dapat dielakkan apabila Nurul Izzah Anwar mengesahkan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Dalam sebuah podcast langsung Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri yang diadakan di Dewan Serbaguna MBSJ malam tadi, Rafizi berkata, walaupun setiap calon mempunyai hujah tersendiri, persepsi rakyat luar terhadap pengaruh keluarga dalam politik tetap menjadi cabaran utama.

“Bila Izzah tanding, memang kita tidak boleh lari isu nepotisme. Masing-masing akan ada hujah sendiri. Tapi saya bimbang persepsi rakyat di luar sana,” katanya.

Rafizi menegaskan bahawa walaupun proses pemilihan ditentukan perwakilan parti, keputusan sebenar akan dinilai oleh dua pihak lebih besar: rakyat dan Tuhan.

“Hakim kita ada dua sahaja, satu pengundi bila PRU nanti, satu lagi adalah Allah. Kita boleh bagi pelbagai jawapan, tetapi isu ini akan terus berlegar jika tidak ditangani dengan bijak,” ujarnya, sambil memberi peringatan agar tidak menyamakan situasi PKR dengan negara seperti Azerbaijan yang presidennya pernah melantik isteri sebagai timbalan presiden.

Mengulas lebih lanjut, Rafizi menyarankan agar Nurul Izzah bersedia untuk memikul tanggungjawab besar sekiranya terpilih sebagai orang nombor dua dalam PKR, termasuk menjadi “panglima perang” yang berdepan tekanan politik dalaman dan luaran.

“Kalau Izzah jadi timbalan presiden, dia kena ambil alih tugas saya sebagai kaki pukul nombor satu yang dedah skandal LCS, runding dengan BN dan PN, dan jadi perunding strategi parti. Ini bukan jawatan manis-manis semata-mata,” katanya.

Rafizi turut menyelar tindakan segelintir pihak dalam PKR yang dilihat terlalu ghairah menyusun langkah politik hingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi.

“Orang bising bukan sebab siapa bertanding. Mereka mual sebab lihat pemilihan ini macam sudah dirancang untuk ‘memangsakan’ seseorang. Bila sudah ada kuasa, masing-masing berebut nak tunjuk kesetiaan dan tumpang kuasa,” ujarnya tegas.

Sebelum ini, Nurul Izzah menyatakan hasratnya untuk memfokus kepada pengukuhan kerusi marginal menjelang PRU-16, dengan komitmen bekerjasama bersama anggota, sukarelawan dan pendukung parti di lapangan.

BBerkaitan

Latest articles