Qatar Tutup Sementara Ruang Udara

DOHA: Qatar mengambil langkah drastik menutup sementara ruang udaranya bermula malam Isnin, susulan ketegangan geopolitik yang memuncak di rantau Timur Tengah selepas serangan udara Amerika Syarikat terhadap kemudahan nuklear Iran.

Dalam kenyataan rasmi oleh Kementerian Luar Qatar, penutupan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi keselamatan semua penduduk dan pelawat di negara Teluk berkenaan.

“Selaras dengan komitmen Qatar terhadap keselamatan semua individu di wilayahnya, pihak berkuasa berkaitan telah memutuskan untuk menggantung sementara navigasi udara di ruang udara negara ini,” menurut kenyataan itu yang dilaporkan oleh Anadolu Ajansi.

Kementerian itu turut menjelaskan bahawa keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada pendekatan bersifat pencegahan ekoran konflik yang kian meruncing di rantau ini, khususnya selepas serangan balas besar-besaran dilancarkan terhadap Iran.

“Pihak berkuasa sedang memantau situasi secara dekat dan berterusan serta menilai perkembangan bersama rakan serantau dan antarabangsa,” katanya lagi.

Qatar menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan semua individu di dalam negara itu akan terus menjadi keutamaan. Kerajaan turut memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan disalurkan secara rasmi kepada orang ramai.

“Negara ini tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan langkah perlindungan tambahan jika perlu,” jelas kenyataan tersebut.

Langkah Qatar ini hadir sehari selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas tiga kemudahan nuklear utama Iran iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan sebagai tindak balas terhadap serangan yang tidak dinyatakan secara terperinci oleh pihak Washington.

Tindakan itu telah mencetuskan ketegangan mendalam di seluruh rantau, dengan beberapa negara Teluk kini mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan ketidakstabilan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles