RIYADH: Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal Al Saud, yang dikenali dunia sebagai “Putera Tidur”, mangkat pada usia 36 tahun selepas mengharungi tempoh koma selama dua dekad akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2005.
Berita duka itu diumumkan oleh bapanya, Putera Khalid bin Talal, menerusi satu hantaran di platform X pada Sabtu, yang mencetuskan kesedihan di media sosial seluruh dunia Arab.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai,” tulis beliau.
“Dengan hati yang reda terhadap ketentuan Allah dan penuh kesedihan, kami mengumumkan kemangkatan anakanda kami tercinta, Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal bin Abdulaziz Al Saud. Semoga Allah merahmatinya.”
Solat jenazah dijadualkan berlangsung pada Ahad, manakala majlis tahlil dan ziarah takziah akan diadakan selama tiga hari, bermula Ahad hingga Selasa.
Al-Waleed mengalami kecederaan parah dan koma sejak berusia 16 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan tragik ketika mengikuti pengajian di sebuah kolej ketenteraan.
Walaupun menerima rawatan intensif termasuk dari pakar perubatan terkemuka Amerika Syarikat dan Sepanyol, keadaannya tidak menunjukkan perubahan besar, namun semangat keluarganya tidak pernah luntur.
Putera Khalid kerap berkongsi gambar dan perkembangan anakandanya, meyakinkan rakyat bahawa Al-Waleed terus diberi perhatian dan kasih sayang tanpa henti.
Pada 2019, rakyat Arab Saudi kembali menaruh harapan apabila sepupunya, Puteri Rima binti Talal, memuat naik video yang memperlihatkan Al-Waleed menggerakkan kepalanya dari kiri ke kanan.
“Yang Maha Penyayang… Al-Waleed bin Khalid menggerakkan kepalanya. Segala puji bagiMu, ya Tuhan,”* tulis Puteri Rima dalam hantaran tersebut.
Harapan terus disemai apabila pada tahun 2020, Al-Waleed sekali lagi menunjukkan tanda tindak balas apabila dilihat menggerakkan tangannya.
Beberapa bulan lalu, Putera Khalid memaklumkan bahawa doktor mengesan bengkak pada kelenjar Al-Waleed, menyebabkan ujian lanjut dilakukan.
Walaupun dilanda cabaran, keluarga diraja tetap optimis dan berpegang teguh kepada doa dan harapan.
Al-Waleed bukan sahaja menjadi lambang ketabahan keluarga diraja, tetapi juga ikon kekuatan rohani rakyat Arab Saudi – simbol bahawa cinta, doa dan keimanan mampu memberi makna kepada hidup, walaupun dalam keadaan tidak sedar.