KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa bangkit memulihkan maruah dan kewibawaan selepas terpalit dengan pelbagai isu serius termasuk buli, penderaan, rasuah, hedonisme dan krisis integriti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan ATM tidak boleh lagi berdiam diri atau menafikan realiti. Katanya, hanya satu pilihan ada: kembalikan kepercayaan rakyat.
“ATM mesti dipercayai ketika aman dan saat diuji. Tanpa kepercayaan, tiada rasa selamat dalam jiwa rakyat,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu.
Sebagai langkah tegas, MINDEF akan merombak sepenuhnya pelan antirasuah bermula tahun ini.
Semua proses tender dan perolehan akan disemak semula bagi memastikan ketelusan dan integriti.
“Tiada toleransi terhadap rasuah. Sesiapa yang menggadai keselamatan negara, bersedialah kehilangan segalanya,” tegas beliau.
Menurutnya, rasuah bukan sekadar merosakkan sistem, malah mengancam nyawa anggota dan melemahkan pertahanan negara.
Beliau menegaskan sudah cukup dengan pelan atas kertas.
“Kita mahu tindakan. Tegas, adil dan tanpa kompromi,” katanya.
Mohamed Khaled berharap 2026 menjadi titik kebangkitan ATM sebagai institusi yang bersih, berintegriti dan dihormati rakyat.










