Pulau Pinang Diiktiraf Dunia, Tersenarai Destinasi Menarik 2026 Bagi CNN, New York Times

KUALA LUMPUR: Pulau Pinang melangkah ke tahun baharu dengan penuh gemilang apabila disenaraikan antara tempat menarik untuk dilawati 2026 oleh CNN dan New York Times.

CNN Travel menamakan negeri ini antara 20 destinasi pelancongan terbaik, sambil menyifatkan Pulau Pinang sebagai ‘cita rasa sejarah’.

Dalam senarai lokasi terbaik untuk dilawati tahun ini oleh CNN Travel itu, Pulau Pinang diletakkan sebaris antaranya dengan Adelaide (Australia), Aragon (Sepanyol), Brussels (Belgium), Devon (United Kingdom), Oulu (Finland), Philadelphia (Amerika Syarikat) dan negara Algeria serta Timor Leste.

Pulau Pinang disebut kerana keistimewaan gastronomi, dengan budaya Peranakan diberi penekanan khusus, selain sejarah, mural-muralnya serta rujukan kepada pembuat kasut terkenal dunia Datuk Jimmy Choo, yang berasal dari negeri ini.

“Sama ada bertaraf Michelin atau tidak, anda tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati hidangan lazat di Pulau Pinang dengan gerai jalanan, pasar malam dan kopitiam menyajikan kari penuh aroma, semangkuk laksa panas, kek pandan dan kelapa yang tidak terlalu manis, serta pelbagai juadah menyelerakan lain.

“Di antara waktu makan, terokailah mural jalanan ikonik di George Town, termasuk sebuah mural yang memberi penghormatan kepada wira tempatan, Jimmy Choo,” menurut laman web berkenaan.

Sementara itu, Penang Global Tourism (PGT) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa senarai berkenaan merupakan pengiktirafan global terhadap keistimewaan sebenar yang dimiliki Pulau Pinang.

“Pulau Pinang merupakan satu-satunya destinasi di Malaysia yang tersenarai. Sebabnya kerana Pulau Pinang terkenal sebagai sebuah bandar pelbagai budaya yang kaya dengan sejarah dan terus menghargai serta meraikan warisan silamnya,” menurut hantaran itu.

Pulau Pinang juga tersenarai antara ’52 Destinasi Menarik untuk Dilawati 2026′ oleh New York Times.

BBerkaitan

Latest articles