KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memikul akauntabiliti penuh berhubung isu titah adendum Yang di-Pertuan Agong yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Mohd Puad, jika kerajaan tidak berhasrat melaksanakan titah adendum tersebut, kerajaan sepatutnya menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan dan membenarkan kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
“Ini kes sivil bukan jenayah. Kerajaan diwakili oleh Peguam Negara (AG) yang juga penasihat undang-undang kerajaan. Jadi timbul persoalan, kenapa AGC (Jabatan Peguam Negara) merayu ke Mahkamah Persekutuan? Tidakkah PMX accountable?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam masa sama, Mohd Puad berkata kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam jelas menunjukkan UMNO terus mempertahankan keadilan buat Najib, meskipun bekas Perdana Menteri itu tidak pernah meminta parti membelanya.
Katanya, UMNO mengambil pendekatan berhemah dengan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong supaya Najib diberikan keringanan hukuman iaitu tahanan di rumah, selaras titah adendum yang tertangguh lebih setahun lalu.
“Isu titah adendum ini sepatutnya menjadi mudah jika sejak awal lagi pihak AGC melaksanakannya secara pentadbiran,” ujarnya.
Terdahulu, UMNO memohon perkenan Seri Paduka Baginda agar titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah dapat dilaksanakan, selepas Peguam Negara pada Selasa mengesahkan kewujudan titah tersebut.
Bagaimanapun, AGC dilaporkan tetap memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Najib mengemukakan bukti baharu berkaitan titah itu.