PRU16, Masa Depan UMNO Antara Intipati Ucapan Dasar Presiden

KUALA LUMPUR: Ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2025 esok, dijangka menyentuh hala tuju dan persediaan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii, berkata tumpuan dijangka turut diberikan kepada persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

“Pada perhimpunan kali ini juga paling penting, kita akan membicarakan tentang keutamaan orang Melayu, Islam dan juga Raja-Raja Melayu, serta mencari titik pertemuan (untuk) menyatukan semula seluruh perjuangan orang Melayu di bawah UMNO,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mohd Razlan yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pandangan dikemukakan perwakilan pada sesi perbahasan akan diteliti secara menyeluruh, bagi merangka formula terbaik untuk dibincangkan pada peringkat tertinggi parti sebelum dijadikan panduan UMNO pada masa hadapan.

Sementara itu, beliau menegaskan UMNO akan terus berperanan sebagai pengimbang kepada dasar-dasar, khususnya yang melibatkan kepentingan orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan.

“Selagi UMNO berada dalam kerajaan, kita akan terus mempertahankan kepentingan orang Melayu, meskipun terdapat pandangan yang mempersoalkan peranan UMNO sebagai parti minoriti dalam gabungan kerajaan ketika ini,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Seramai 6,412 perwakilan mendaftar membabitkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Wanita (1,165), Pemuda (1,173) dan Puteri (1,146).

Perhimpunan Agung UMNO bermula secara rasmi esok dengan majlis menaikkan bendera, sebelum ucapan dasar Presiden UMNO diikuti sesi perbahasan. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles