KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul menitipkan pesana selamat maju jaya buat bekas sahabatnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kemungkinan terjadinya Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut pada hujung tahun ini.
Johari bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu hanyalah perancangan peribadi Setiausaha Agung Bersatu itu sendiri.
“Jika benar, good luck untuk Azmin. Tetapi realitinya, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk berlaku.
“Hal ini kerana keputusan untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya di sidang media selepas menghadiri Program Bual Bicara Parlimen Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, semalam.
Baru-baru ini Mohamed Azmin mendakwa beliau yakin akan adanya pilihan raya mengejut sebelum tamatnya penggal pemerintahan Kerajaan Madani.
Kononnya situasi itu boleh berlaku kerana tekanan daripada rakyat yang mengganggap bahawa kerajaan sedia ada ini gagal.