Prosiding Lelaki Nepal Didakwa Bunuh Wanita, Anak Ditangguh Kerana Tiada Jurubahasa

GEORGETOWN: Seorang lelaki warga Nepal didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah 1 hari ini atas dua pertuduhan membunuh seorang wanita dan anak perempuannya dalam kejadian ngeri di Kampung Sekolah Juru, bulan lalu.

Tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, bagaimanapun tidak sempat mendengar pertuduhan dibacakan selepas mahkamah dimaklumkan bahawa dia memerlukan khidmat jurubahasa bagi memahami prosiding.

Majistret Nurul Rasyidah Akit kemudian menetapkan 26 November ini untuk lantikan jurubahasa serta sambungan sebutan kes.

Dinesh berdepan dua tuduhan membunuh Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam pada 18 Oktober lalu di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadli Hassan dan Anis Suhada Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memutuskan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Sebelum ini, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengesahkan dendam menjadi motif utama pembunuhan kejam dua beranak tersebut.

Dalam kejadian itu, Sariya ditemui di dapur dengan kepala hampir putus, manakala anaknya Nur Afrina Alisha ditemukan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu berkenaan.

Mayat kedua-duanya ditemui suami mangsa sekitar jam 7.30 malam.

Polis menahan lapan lelaki, termasuk suami Sariya, bagi membantu siasatan, namun tujuh daripadanya dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil.

BBerkaitan

Latest articles