‘Prime’ – Sistem Komunikasi Mudah Alih Untuk Respon Bencana, Kecemasan Lebih Efisien

CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (Prime), sebuah inisiatif strategik untuk memperkukuh capaian komunikasi ketika berdepan situasi bencana dan kecemasan.

Menurut Menterinya, Fahmi Fadzil, sistem yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertujuan menyokong agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan kawasan terjejas mempunyai akses komunikasi yang stabil.

“Ini bukan sahaja untuk kegunaan petugas barisan hadapan, tetapi juga mangsa-mangsa bencana yang memerlukan bantuan segera,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Prime di ibu pejabat SKMM hari ini.

Fahmi menjelaskan bahawa Prime merupakan sistem komunikasi berasaskan kenderaan yang dilengkapi dengan teknologi satelit, selular, radio dua hala, WiFi dan dron.

Sistem ini mampu berfungsi sebagai hab komunikasi bergerak di lokasi-lokasi kritikal.

Selain menyokong operasi bencana, Prime juga akan dimanfaatkan dalam program jangkauan komuniti, seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), menjadikan ia sebuah hab digital bergerak yang menyediakan capaian internet dan aktiviti komuniti secara terus di lapangan.

Setakat ini, tiga unit Prime akan dibangunkan secara berperingkat dengan kos RM1 juta seunit.

Unit pertama telah ditempatkan di ibu pejabat SKMM untuk menyokong operasi di Semenanjung, manakala dua lagi akan disiapkan sebelum hujung tahun dan ditempatkan di Sabah serta Sarawak.

“Kita akan lihat keperluan menambah jumlah unit selepas menilai prestasi awal. Misalnya, dron dalam sistem ini boleh ditambah fungsi mikrofon dan pembesar suara bagi membolehkan mangsa yang terperangkap berkomunikasi terus dengan pasukan penyelamat,” jelas Fahmi.

Beliau turut menyatakan bahawa unit Prime yang pertama dijangka diuji pada Oktober ini, terutama bagi membantu operasi di kawasan yang sering dilanda banjir semasa musim Monsun Timur Laut.

BBerkaitan

Latest articles