Polis Tahan Suami Wanita Dicampak Dari Van, Suspek Dedah Berlaku Pertengkaran

KUALA LUMPUR: Perselisihan faham antara suami isteri berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai dicampak dari sebuah van di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, petang semalam.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 50 tahun yang juga suami kepada mangsa di Taman Kinrara, Puchong sekitar jam 6 petang pada hari kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, siasatan awal mendapati pertengkaran antara pasangan itu tercetus ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dan memaklumkan bahawa telah berlaku pertengkaran mulut dengan isterinya di dalam van sebelum kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasangan itu dilaporkan telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua anak.

Suspek turut mendakwa isterinya terlibat dalam penggunaan dadah jenis Methamphetamine.

Pemeriksaan lanjut mendapati suspek, yang bekerja sebagai penghantar barang, memiliki satu rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah.

Dalam masa yang sama ujian saringan air kencing terhadap suspek menunjukkan keputusan positif terhadap tiga jenis dadah iaitu Methamphetamine, Amphetamine dan Benzodiazepine.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang semalam, seorang saksi memaklumkan kepada polis bahawa melihat seorang wanita tercampak keluar dari sebuah van yang tidak berhenti selepas kejadian.

Mayat mangsa kemudian disahkan maut di lokasi oleh pasukan perubatan.

Mangsa, wanita tempatan berusia 44 tahun dan beralamat di Menglembu, Ipoh, telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

BBerkaitan

Latest articles