KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat sebuah akaun TikTok menggunakan nama @berjuanguntukzara yang dikesan memuat naik kandungan tidak tepat serta mengelirukan berhubung kes kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketiga-tiga peruntukan itu merangkumi kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian, menyebarkan kandungan berbaur hasutan serta menimbulkan kebencian yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
“Orang ramai diingatkan supaya menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini kerana ia mampu menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan proses siasatan PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial bukan sahaja boleh mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat, malah mengganggu kelancaran siasatan yang sedang dijalankan.