PETALING JAYA: “Saya dipaksa mengaku bunuh anak sendiri.”
Demikian dakwaan Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, ketika memberi keterangan membela diri di Mahkamah Sesyen hari ini.
Ismanira, yang berdepan pertuduhan mengabaikan anak autistiknya, mendakwa beliau diperlakukan secara tidak wajar sepanjang tempoh 13 hari siasatan oleh pihak polis, termasuk diasak secara fizikal dan mental, dipukul serta diugut untuk membuat pengakuan palsu.
“Polis reka cerita saya bunuh anak saya. Mereka paksa saya mengaku sesuatu yang saya tak pernah buat,” katanya sambil menangis ketika disoal peguam bela, Haresh Mahadevan, di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Menurut Ismanira, beliau ditempatkan selama 12 hari di sebuah premis khas yang digelar safehouse, dipercayai milik pihak berkuasa, dan hanya sehari ditahan di lokap IPK Selangor.
“Rumah itu besar, ada label ‘D8’ di pintu masuk. Ada beberapa bilik soal siasat dan meja mesyuarat. Setiap hari saya disoal dari jam 9 pagi hingga 6 petang – soalan sama berulang-ulang,” ujarnya.
Beliau mendakwa meskipun memberi kerjasama penuh, tekanan tidak berkurang malah bertambah dengan ugutan dan kekerasan.
“Ada yang ugut, ada yang pukul. Mereka cakap saya yang bunuh Zayn. Tapi itu semua tak benar,” katanya.
Ismanira juga mendakwa seorang anggota polis lelaki memukulnya, dan mengenal pasti individu yang mengetuai sesi soal siasat sebagai pegawai dari Bukit Aman, walaupun tidak mengingati nama.
Ketika menyambung keterangannya, Ismanira menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengabaikan Zayn, malah menjaga anaknya dengan penuh kasih sayang sejak dilahirkan.
“Saya yang mengandungkan, melahirkan, membesarkan Zayn. Saya cuma tak bersamanya waktu kerja atau ketika dia di sekolah. Hari dia hilang, saya benar-benar kehilangannya. Bukan kerana saya abaikan dia,” katanya lagi.
Ismanira juga mendedahkan bahawa beliau telah mengadu kepada majistret sebanyak dua kali ketika prosiding reman, namun mendakwa tiada sebarang tindakan diambil.
Beliau turut membuat laporan polis berkaitan dakwaan layanan buruk terhadapnya.
“Saya dan suami ditahan enam bulan selepas Zayn meninggal. Kami dikhianati, sedangkan kami sudah beri kerjasama penuh,” katanya.
Zayn Rayyan, 6 tahun, ditemui mati di dalam anak sungai kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Damansara Damai pada 6 Disember 2023.
Beliau dilaporkan hilang sehari sebelum itu.
Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, dituduh mengabaikan Zayn mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah telah membebaskan Zaim daripada pertuduhan, manakala Ismanira kini membela diri.
Prosiding dijangka bersambung pada sebelah petang dengan sesi pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.