KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan Pamela Ling, wanita berusia 42 tahun yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 9 April lalu, masih belum terungkai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan bahawa usaha mengesan keberadaan wanita tersebut masih diteruskan, namun setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu yang diperoleh pihak berkuasa.
“Belum ada sebarang perkembangan terkini berhubung keberadaan wanita ini. Setakat ini, seramai 12 individu termasuk pegawai SPRM dan peguam kepada Pamela telah dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan tidak menemui sebarang bukti berhubung tuntutan wang tebusan atau elemen penculikan daripada mana-mana pihak.
Pamela, yang juga ibu kepada tiga anak, dijadualkan hadir ke SPRM bagi memberi keterangan dalam satu siasatan yang sedang berlangsung.
SPRM mengesahkan ketidakhadiran beliau, walaupun ini bukan kali pertama wanita itu dipanggil bagi membantu siasatan.
Menurut laporan, kehilangan Pamela pertama kali dilaporkan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada 9 April kira-kira jam 3.02 petang.
Ahli keluarga mangsa mendakwa kenderaan e-hailing yang dinaiki Pamela telah ditahan oleh tiga buah kenderaan tidak dikenali sebelum wanita itu dibawa menaiki salah sebuah kereta tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.