PM Bidas Pihak Persoal Cuti Rafizi – “Kenapa Tak Boleh Cuti?”

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas pihak yang mempersoalkan ketiadaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dipercayai sedang bercuti.

Menyifatkan pertanyaan itu tidak wajar, Anwar menegaskan bahawa seseorang menteri juga berhak untuk bercuti, seperti individu lain.

“Ada ke punya soalan tak boleh cuti? Kenapa (Rafizi) tak boleh cuti?” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Saujana Putra, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Rafizi, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dipercayai sedang bercuti, malah ada desas-desus mendakwa beliau telah meletakkan jawatan sebagai menteri.

Spekulasi mengenai kedudukan Rafizi dalam kabinet dan parti semakin rancak selepas beberapa sekutunya tewas dalam pemilihan cabang PKR baru-baru ini.

Situasi itu dikatakan memberi isyarat laluan sukar buat beliau untuk mempertahankan jawatan nombor dua parti.

Mengulas lanjut secara berseloroh, Anwar berkata beliau juga bercadang untuk mengambil cuti panjang selepas selesai persidangan ASEAN tidak lama lagi.

“Saya pun nak cari beberapa hari cuti. Saya nak lepaskan Summit (ASEAN). Boleh tak saya cuti?” katanya berseloroh.

Setakat ini, Rafizi masih belum membuat kenyataan rasmi berhubung status beliau, sama ada berkaitan cuti mahupun kedudukannya dalam kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles