Pilihan Sangat Tepat – Fahmi Puji Hannah Yeoh Terajui Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, menyambut baik pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), sambil menyifatkan keputusan itu sebagai langkah yang amat tepat dan bertepatan dengan keperluan semasa.

Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, antara fokus utama yang boleh digerakkan Hannah ialah agenda pembangunan lestari di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman peribadinya bekerja bersama Hannah sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut itu mempunyai komitmen tinggi dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan kebajikan rakyat.

“Saya rasa ini pilihan yang sangat tepat. Saya sendiri ada banyak pengalaman bekerja dengan Hannah yang sentiasa konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Pusat Dagangan Dunia, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan Hannah menggantikan Dr Zaliha Mustafa.

Hannah sebelum ini menerajui Kementerian Belia dan Sukan, jawatan yang kini disandang Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari.

Mengulas pelantikan Taufiq, Fahmi menyifatkannya sebagai padanan yang sesuai, memandangkan beliau dilihat aktif dan kaya dengan idea yang mampu diterjemahkan dalam memperkasa pembangunan belia dan sukan negara.

Dalam pada itu, Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada menteri-menteri yang digugurkan dalam rombakan Kabinet, sambil menyatakan keyakinan Perdana Menteri akan mencari ruang terbaik untuk mereka terus menyumbang kepada negara dalam kapasiti lain.

BBerkaitan

Latest articles