Pesara Mengaku Tak Salah Rogol Anak Kandung Tiga Kali Dalam Sehari

RAUB: Seorang pesara berusia 63 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 35 tahun, dalam kejadian didakwa berlaku di rumah mereka di Karak, Bentong, bulan lalu.

Tertuduh, Hanipah Ali, bagaimanapun menafikan semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di rumah mereka di Taman Makmur Jaya, Karak, antara jam 10 malam pada 17 Oktober hingga 5 pagi keesokan harinya.

Difahamkan, ketika kejadian tertuduh tinggal serumah bersama isteri dan anaknya itu.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, Hanipah memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia hanya bergantung kepada pencen bulanan kira-kira RM400 dan masih menanggung isterinya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Januari depan bagi memberi ruang kepada tertuduh melantik peguam bela.

BBerkaitan

Latest articles