KUALA LUMPUR: Perodua melakar sejarah baharu dalam industri automotif negara apabila secara rasmi memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) pertamanya, QV-E, pada harga RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri.
Model baharu yang dihasilkan di kilang termaju syarikat itu, Smart Mobility Plant, dibangunkan dengan kos RM800 juta dan menjadi sebahagian daripada agenda nasional merancakkan ekosistem EV tempatan.
Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluaran awal ditetapkan 500 unit sebulan sebelum meningkat kepada 3,000 unit menjelang suku ketiga 2026.
Melancarkan model berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan QV-E sebagai pencapaian penting selepas Perodua dilantik sebagai juara industri automotif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Setakat ini, sebanyak 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen untuk QV-E dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 70 vendor dalam tempoh lima tahun.
Zainal menjelaskan bahawa penghasilan EV pertama Perodua hanya mengambil masa 28 bulan melalui sokongan penuh MITI dan pelbagai agensi kerajaan.
QV-E menampilkan ciri moden termasuk reka bentuk serba baharu, sistem keselamatan terkini dan teknologi digital dipertingkat.
Antara tarikan utama ialah fungsi Child Presence Detection yang mampu mengesan pergerakan atau tanda vital kanak-kanak serta haiwan peliharaan yang tertinggal di dalam kereta, walaupun dilitupi selimut.
Dikuasakan bateri Lithium Iron Phosphate 52.5kW, EV kompak ini mampu mencapai jarak sehingga 445km (NEDC) bergantung keadaan pemanduan.
Perodua turut memperkenalkan konsep Battery as a Service (BaaS), di mana bateri dijual berasingan sebagai penyelesaian kepada kebimbangan pengguna mengenai kos jangka panjang.
Melalui konsep ini, pemilik mendapat jaminan bateri sepanjang hayat, sekaligus menjadikan EV ini lebih mampu milik untuk golongan pertengahan serta pembeli kereta kedua.
QV-E ditawarkan dalam dua warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey dan boleh didapati di cawangan Perodua terpilih seluruh negara.










