PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap akan meneruskan prosiding komital terhadap aktivis Mona Din berhubung hantaran di Facebook yang menyentuh inkues kematian Zara Qairina Mahathir, meskipun beliau sudah mengemukakan permohonan maaf minggu lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan, permohonan maaf tersebut tidak diterima dan notis tunjuk sebab bertarikh 10 September lalu terhadap Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din kekal berkuat kuasa.
“AGC mengambil maklum permohonan maaf serta tindakan beliau menurunkan hantaran berkenaan, namun ia hanya boleh dijadikan faktor mitigasi di mahkamah kelak. Tindakan tegas perlu diambil supaya penghinaan mahkamah tidak dipandang ringan,” katanya.
Beliau memaklumkan permohonan perintah komital akan difailkan dalam tempoh terdekat.
Mona sebelum ini memohon maaf secara terbuka di Facebook, menegaskan tiada niat mencampuri prosiding mahkamah atau mempengaruhi pandangan masyarakat, selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.
Hantarannya yang didakwa menghina prosiding inkues telah dipadam pada 13 September lalu.
AGC sebelum ini menyerahkan notis tunjuk sebab kepada Mona selepas mendapati hantaran tersebut mempertikai keterangan saksi pakar, sekali gus berpotensi mengganggu prosiding yang sedang berjalan.