Perbicaraan Revenue Group — Saksi Dedah Tindakan Tanpa Kelulusan Lembaga

KUALA LUMPUR,— Perbicaraan kes membabitkan dua pengarah Revenue Group Berhad (RGB), Ng Shih Chiow dan Ng Shih Fang, hari ini menyaksikan keterangan penting daripada saksi pendakwaan, Thien Lee Mee, yang merupakan Pengurus Kanan syarikat tersebut.

Dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Thien memaklumkan bahawa tindakan memfailkan saman sivil dan menggantung tugas kedua-dua tertuduh pada 16 Januari 2023 dibuat tanpa sebarang kelulusan atau resolusi rasmi daripada Lembaga Pengarah syarikat.

“Mesyuarat lembaga pada 4 Januari dan 17 Januari 2023 juga tidak pernah meluluskan sebarang resolusi untuk mengambil tindakan sivil terhadap kedua-dua mereka,” katanya ketika disoal oleh peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Thien turut mendedahkan bahawa kenderaan korporat jenis Toyota Vellfire telah didaftarkan atas nama Ng Shih Fang sejak 3 Oktober 2018 dan digunakan bagi urusan rasmi syarikat.

Beliau merujuk kepada satu e-mel bertarikh 24 September 2018 yang menunjukkan bahawa pengurusan tertinggi, termasuk Datuk Ng Chee Siong, telah dimaklumkan lebih awal mengenai pendaftaran kenderaan tersebut.

“Berdasarkan dokumen, Datuk Ng telah diberi salinan e-mel yang menyatakan kenderaan itu akan didaftarkan atas nama Encik Ng Shih Fang,” katanya.

Namun, sepanjang tempoh dari 2018 hingga 2022, tiada sebarang isu atau bantahan berkaitan penggunaan atau pendaftaran kenderaan itu yang dibangkitkan dalam mesyuarat lembaga. Kenderaan berkenaan hanya dipulangkan kepada syarikat pada 5 Januari 2023, sehari selepas mesyuarat lembaga yang menjadi titik tolak kepada pertikaian dalaman syarikat.

Pihak pembelaan turut mengemukakan beberapa dokumen termasuk e-mel yang menunjukkan Datuk Ng Chee Siong telah dimaklumkan lebih awal mengenai proses pendaftaran kenderaan atas nama individu.

Pelantikan Peguam Tanpa Kelulusan

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pelantikan firma guaman Tetuan Wong Kian Kiong oleh pihak tertentu dalam syarikat untuk mewakili RGB tidak pernah dibawa ke mesyuarat lembaga untuk kelulusan rasmi.

Thien mengesahkan bahawa tiada rekod keputusan atau mandat daripada lembaga pengarah berhubung pelantikan tersebut, dan tiada dokumen rasmi yang menunjukkan sebarang bayaran profesional telah diluluskan untuk khidmat guaman itu.

“Tiada keputusan lembaga direkodkan berhubung pelantikan peguam ini. Sepatutnya, sebarang perkhidmatan profesional termasuk guaman perlu mendapat kelulusan dan direkodkan secara rasmi,” jelas Thien ketika disoal oleh peguam Amer Hamzah Arshad.

Perbicaraan bersambung petang ini berhubung isu pelantikan firma guaman serta urus tadbir dalaman syarikat.

BBerkaitan

Latest articles