Perbicaraan Kes Pemalsuan Invois RHSB RM1.1 juta: Saksi Dakwa Kenyataan Asal Tak Tepat

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan ketujuh (SP7), Pui Siew Foon, memberitahu Mahkamah bahawa beberapa perenggan penting dalam pernyataan saksinya adalah tidak benar berdasarkan keterangan yang diberikannya kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Beliau berkata, beliau tidak berhasrat untuk meminda pernyataan tersebut tetapi mahu mengubahnya supaya ia selari dengan maklumat yang diberikan kepada pihak SPRM ketika memberi keterangan.

Menurutnya, perubahan itu dibuat selepas menyedari mungkin berlaku salah faham ketika proses rakaman percakapan oleh pegawai penyiasat SPRM.

“Saya yang bercakap semasa membantu siasatan, tetapi mungkin pegawai SPRM tersalah faham dan mencatat dengan maksud yang berbeza.

“Sebab itu hari ini saya ubah perenggan tersebut di mahkamah,” katanya semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Wan Nur Iman Wan Ahmad.

Siew Foon yang bertugas sebagai Ketua Pembangun Perisian (Head of Software Developer) di Revenue Harvest Sdn Bhd (RHSB) menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam sebarang urusan pembelian atau penjualan perisian, terminal fizikal mahupun aksesori perkakasan terminal.

Menjawab pertanyaan peguambela, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, beliau turut mengesahkan hanya mengenali beberapa nama syarikat seperti Accucom dan Dynasty ketika memberi keterangan kepada SPRM, dan tidak pernah berurusan secara langsung dengan mana-mana syarikat tersebut sebelum atau selepas siasatan.

“Saya hanya dikemukakan nama syarikat itu semasa membantu siasatan. Selain daripada itu, saya tidak pernah tahu atau berjumpa dengan mereka,” katanya.

Siew Foon menjelaskan, sepanjang tempoh perkhidmatannya di RHSB, beliau melapor terus kepada Dino (Ng Shih Fang), Ketua Pegawai Teknologi (CTO) syarikat berkenaan, dan tidak pernah menerima arahan kerja daripada individu bernama Brian (Ng Shih Chow) atau Eddie Ng.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Ivan Chiah Chee Choon, Ketua Pegawai Operasi (COO) RHSB, saksi itu berkata Ivan ada berurusan dengannya berkaitan projek bank, termasuk mendapatkan spesifikasi daripada pihak bank untuk unitnya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Raminah Ithnin juga meminta mahkamah meminda pernyataan saksinya kerana terdapat banyak kekeliruan terutama berkaitan dokumen dokumen berkait pertuduhan terhadap Shih Chow yang sedang menjalani perbicaraan.

Timbalan Pendakwaraya Aznika Mohd Anas meminta pihak mahkamah menangguhkan prosiding sementara pihaknya meneliti keterangan saksi dan dokumen dokumen berkaitan.

Aznika berkata, pihaknya baru mengambil alih kes berkenaan dan memerlukan masa untuk memahami kes.

Pihak pembelaan turut diwakili Peguam, Datuk Amir Hamzah.

Prosiding berlangsung dihadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Ng Shih Chiow (Brian) didakwa melakukan kesalahan pada 22 Mei 2020, di Wisma Revenue, No. 12, Jalan Udang Harimau 2 Kepong Business Park Kuala Lumpur dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu telah bersubahat secara berpakat jahat dengan Cheng Choon Choon, yang merupakan Pengurus Syarikat Golden Infor
Services, memalsukan suatu dokumen iaitu invois bernombor INV-20201100074, berjumlah RM1,100,000.00 bertarikh 22.05.2020 dengan niat menipu.

BBerkaitan

Latest articles