KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penumpang warga China yang didakwa menyentuh secara tidak wajar seorang pramugari Malaysia Airlines mencetuskan kemarahan ramai selepas video insiden itu tular di media sosial.
Dalam rakaman berkenaan, lelaki terbabit dilihat dibawa keluar dari pesawat oleh petugas keselamatan selepas dipercayai menepuk punggung kru kabin yang sedang bertugas.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sebelum pesawat berlepas pada Rabu lalu, sekali gus memaksa campur tangan segera pihak keselamatan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.
Lebih mencetuskan kontroversi, individu berkenaan dikatakan mempertahankan tindakannya ketika disoal siasat dalam bahasa Mandarin.
Berdasarkan terjemahan yang dikongsi netizen, lelaki itu mendakwa perbuatannya bukan satu kesalahan, sebaliknya sekadar ‘simbolik’ kepada hubungan rapat antara China dan Malaysia.
Walaupun pada awalnya enggan memberi kerjasama, lelaki tersebut akhirnya diiring keluar dari pesawat oleh petugas keselamatan.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-rata mengecam tindakan berkenaan serta menyifatkannya sebagai tidak menghormati batas dan profesionalisme kru penerbangan.
Sementara itu, penyanyi rap dan aktivis, Caprice turut berkongsi video kejadian berkenaan di media sosial.
Beliau menggesa pihak berkuasa termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad serta polis agar menyiasat dan mengendalikan kes tersebut secara tegas demi memastikan keselamatan serta maruah petugas penerbangan terus terpelihara.










