KUALA LUMPUR, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mengecam kenyataan bekas diplomat kanan Singapura, Bilahari Kausikan yang menyifatkan pendekatan kolektif ASEAN terhadap Amerika Syarikat sebagai “berdrama” dan hanya disokong oleh seorang pemimpin tertentu dalam rantau ini.
Menurut Neow, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat meremehkan dan mencerminkan sikap tidak menghormati usaha diplomatik yang memperjuangkan kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi serantau.
“Untuk seorang bekas diplomat kanan merendahkan pendekatan dasar luar yang berpaksikan kebijaksanaan strategik sebagai satu bentuk sandiwara politik adalah satu penghinaan terhadap usaha memperkukuh kerjasama serantau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Neow yang juga Pegawai Khas (Hubungan Antarabangsa) kepada Timbalan Perdana Menteri,Dato’ Sri Fadillah Yusof turut menegur tindakan bekas Wanita Pertama Singapura, Ho Ching, yang secara terbuka memuat naik semula kenyataan Bilahari di laman media sosial, yang menurutnya memberi gambaran sokongan terbuka terhadap naratif berbaur perpecahan itu.
“Sebagai tokoh berpengaruh yang kini mempengerusikan Temasek Holdings, tindakan beliau bukan sahaja tidak wajar, malah memburukkan lagi persepsi terhadap keharmonian hubungan serantau,” ujarnya.
Beliau turut memetik satu lagi insiden pada 21 April 2025, apabila Ho Ching dilaporkan berkongsi hantaran kontroversi oleh blogger Critical Spectator, yang menyamakan Presiden China, Xi Jinping, dengan “ketua mafia”. Walaupun hantaran tersebut dipadam dua hari kemudian, Neow menyifatkannya sebagai contoh tingkah laku yang tidak sepatutnya datang daripada individu yang masih memiliki pengaruh signifikan dalam sektor kewangan dan hubungan antarabangsa.
“Tokoh-tokoh awam yang masih dikaitkan dengan institusi besar dan legasi negara seharusnya membantu menyatukan suara serantau, bukan memburukkan lagi ketegangan,” katanya lagi.
Kenyataan beliau turut ditujukan kepada komuniti diplomatik serantau, sambil menekankan bahawa sebarang komentar yang bersifat merendahkan atau memperlekehkan usaha ke arah perpaduan ASEAN tidak wajar dipandang ringan—lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada bekas penjawat tinggi atau individu berprofil tinggi.
“Sekiranya mereka tidak mampu menyumbang secara membina, lebih baik berdiam daripada mengeruhkan suasana,” tegasnya.
Menurut Neow, kenyataan tersebut juga telah dimajukan kepada Timbalan Perdana Menteri serta pihak Wisma Putra untuk perhatian dan tindakan lanjut, khususnya dalam menjaga keharmonian dan persefahaman dalam kalangan negara ASEAN.