Pemuda MCA Bidas Kenyataan Ahli Parlimen DAP Kampar

KUALA LUMPUR,  — MCA menegaskan pendirian parti itu sebagai entiti politik yang konsisten dengan pendekatan sederhana dan inklusif, berbeza sama sekali dengan DAP yang didakwa sering menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan politik.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, MCA tidak pernah menyifatkan kerjasama antara UMNO dan PAS sebagai ‘negara Taliban’ atau ‘isyarat perang ke atas bukan Melayu dan bukan Islam’ seperti yang pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin DAP sebelum ini.

“MCA ialah parti yang meraikan kepelbagaian dan tidak terlibat dalam politik ekstrem. Kami juga tidak pernah menghasilkan bahan propaganda yang mengangkat fahaman komunis. Sebaliknya, MCA bersama UMNO memperjuangkan kemerdekaan negara dan terus menjunjung semangat patriotisme Barisan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kampar dari DAP, Chong Zhemin yang dilaporkan Malaysiakini sebagai berkata, “Bukan UMNO, tapi MCA yang patut bubar parti dan sertai DAP.”

Mengulas lanjut, Neow membidas kenyataan itu dan menegaskan bahawa Zhemin tidak layak mengulas hal ehwal Barisan Nasional (BN) kerana DAP bukan sebahagian daripada gabungan itu.

“Zhemin dakwa MCA tidak lagi mewakili masyarakat Cina. Kalau begitu, saya cabar beliau jawab kepada rakyat — sudahkah janji DAP untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ditunaikan selepas lebih dua tahun mentadbir kerajaan? Bagaimana pula dengan janji memberikan pajakan tanah 999 tahun?,” soal beliau.

Neow berkata, dakwaan bahawa MCA perlu dibubarkan dan bergabung dengan DAP adalah tidak masuk akal kerana kedua-dua parti itu mempunyai ideologi yang amat bertentangan.

“Bagai minyak dan air. MCA kekal sebagai parti moderat yang menjunjung toleransi dan kesederhanaan, sedangkan DAP berkali-kali memperalatkan sentimen perkauman untuk keuntungan politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar Chong Zhemin untuk menjawab dakwaan serius yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, seperti dilaporkan Berita Harian hari ini, yang menyatakan bahawa DAP mendesak PAS menggugurkan perjuangan Islam, sehingga menyebabkan perpecahan dalam kerjasama politik sebelum ini.

“Daripada menyerang MCA, lebih baik beliau jawab isu yang dibangkitkan oleh bekas rakan sekutunya sendiri,” tegas Neow yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN.

BBerkaitan

Latest articles