KULAI: Seorang pemuda berusia 23 tahun maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah lori lima tan yang diletakkan di tepi jalan di Jalan Felda Taib Andak berhampiran Taman Permata, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 10.36 malam.
“Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi sejauh enam kilometer.
“Setibanya di tempat kejadian pada jam 10.43 malam, didapati sebuah kereta Honda City merempuh lori jenis Hino yang sedang diparkir di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, pemandu kereta, Chan Wen Chong, 29, mengalami kecederaan namun sempat diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Bagaimanapun, penumpang hadapan, Chee Wei Yuan, 23, tersepit di tempat duduk, parah serta tidak sedarkan diri.
“Pegawai perubatan yang hadir kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi. Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.20 malam.