Pemilik Kedai Nafi Sengaja Kibarkan Jalur Gemilang Terbalik

KEPALA BATAS: Pemilik sebuah kedai perkakasan di Taman Bertam Permata menafikan dakwaan sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik seperti yang tular di media sosial hari ini.

Pang Chin Tian, 59, mendakwa insiden itu berlaku secara tidak sengaja ketika pekerjanya sedang mengukur panjang batang besi untuk pemasangan bendera tersebut.

“Kejadian berlaku pagi tadi dan saya tidak sedar bendera dipasang terbalik sebelum batang besi dinaikkan. Pekerja hanya diarahkan merakam gambar untuk mendapatkan ukuran besi yang sesuai.

“Kami memang nak ukur besi itu, tengok berapa panjang, dan bendera pun belum diikat sepenuhnya. Video itu hanyalah percubaan,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Terdahulu, beliau dan pekerjanya hadir ke IPD berkenaan untuk memberi keterangan berhubung video tular tersebut yang mengundang pelbagai reaksi netizen.

Chin Tian, yang sudah menjalankan perniagaan di lokasi sama sejak 10 tahun lalu, turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

Sementara itu,beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UMNO Bahagian Kepala Batas, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, tampil membuat laporan polis.

Reezal Merican menegaskan bahawa negara mempunyai undang-undang untuk memelihara maruah dan lambang negara, justeru siasatan serta tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Alasan yang diberikan tidak boleh diterima dan tidak masuk akal. Perkara ini tidak boleh dibiarkan, sebaliknya tindakan tegas perlu diambil agar tidak menjadi polemik berulang,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles