Pemandu Lori Nahas Dengan Trak FRU Direman 4 Hari

KUALA LUMPUR: Pemandu lori membawa muatan batu yang terbabit dalam nahas tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam semalam, telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman bermula hari ini sehingga Sabtu.

Suspek hadir di Mahkamah Majistret kira-kira jam 8.50 pagi, berpakaian kemeja hitam dan seluar trek, dalam keadaan kawalan ketat oleh anggota polis.

Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan bahawa siasatan kini diperluas meliputi aspek kecuaian manusia, kegagalan teknikal serta faktor persekitaran.

“Kami juga memantau maklumat yang dikongsi di media sosial dan mendapati ada beberapa saksi awam yang dipercayai melihat kejadian ini secara langsung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru saksi awam yang menyaksikan kejadian sebelum atau semasa nahas berlaku agar tampil membantu siasatan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi beliau secara terus di talian 017-8211326 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Bakri memaklumkan bahawa lapan anggota FRU masih dirawat di Hospital Teluk Intan, manakala seorang lagi telah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

Tragedi yang menggemparkan itu berlaku semalam apabila trak FRU yang membawa 18 anggota terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah lori sarat muatan batu, menyebabkan sembilan anggota terkorban manakala yang lain cedera parah.

BBerkaitan

Latest articles