Pemandu Bas Dihukum Penjara Seminggu, Denda RM8,000

PETALING JAYA: Seorang pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga mencederakan seorang guru dan tiga murid dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh, Mohamad Hamir Masruddin, 44, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin atas pertuduhan memandu secara berbahaya pada kejadian yang berlaku Jumaat lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad didakwa memandu secara cuai dan membahayakan orang awam di Jalan Persiaran, Petaling pada jam 12.18 tengah hari, termasuk gagal mengambil kira faktor keadaan jalan, jenis laluan dan kemungkinan kesesakan lalu lintas.

Akibat perbuatannya, lesen memandu Mohamad turut digantung selama lima tahun.

Mohamad hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam dan memohon hukuman diringankan atas alasan kesempitan hidup serta tanggungjawab terhadap ibunya yang sakit di kampung.

“Saya hanya kerja sambilan. Kalau ada kerja, barulah ada gaji. Saya minta hukuman diringankan,” rayunya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi.

Sekiranya gagal membayar denda, Mohamad berdepan hukuman penjara tambahan selama tujuh bulan.

Kemalangan yang berlaku pada 2 Ogos lalu melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 30 murid dan lima guru pengiring sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di kawasan kampus UPM.

Rakaman insiden tersebut melalui kamera papan pemuka (dashcam) turut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen mengenai aspek keselamatan pelajar dalam lawatan sekolah.

BBerkaitan

Latest articles