PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu membuktikan tohmahan kononnya badan kehakiman negara tidak bebas adalah tidak berasas sama sekali.
Menurut beliau, keputusan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja itu merupakan isyarat jelas bahawa proses pelantikan hakim tertinggi negara dibuat secara profesional dan mengikut lunas perlembagaan.
“Berminggu-minggu saya difitnah dan dikecam kononnya ada campur tangan dalam pemilihan Ketua Hakim Negara. Tapi sekarang sudah terbukti semua dakwaan itu tidak benar dan meleset sama sekali,” kata Anwar kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14.
Anwar turut mendedahkan bahawa nama mantan Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dikaitkan sebagai calon Ketua Hakim Negara oleh sesetengah pihak tidak pernah dikemukakan oleh beliau atau dibawa ke perhatian Yang di-Pertuan Agong.
Malah, Pengerusi Majlis Raja-Raja, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri turut menzahirkan kekeliruan terhadap penyebaran khabar angin tersebut.
“Tuanku tanya saya, ‘nama tak dibawa oleh kamu, tak dikemukakan kepada YDPA. Jadi bagaimana boleh timbul?’ Ini semua hasil sebaran daripada segelintir tokoh peguam yang bermain politik,” katanya lagi.
Sehubungan itu Anwar menyeru semua pihak untuk menghentikan budaya menyebar fitnah tanpa asas fakta, khususnya yang melibatkan institusi kehakiman negara.
“Badan kehakiman adalah satu daripada tonggak utama negara berdaulat yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan cemari institusi ini dengan politik kotor,” tegasnya.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara; Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Pelantikan ini dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua hakim yang dilantik dan berharap mereka akan menjalankan amanah dengan penuh integriti dan profesionalisme.
“Alhamdulillah dan tahniah kepada semua. Ini adalah satu mandat besar dan saya yakin mereka akan menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang,” katanya.