SHAH ALAM: Gara-gara patah hati selepas putus cinta dengan teman lelaki, seorang pelajar perempuan tingkatan satu bertindak nekad terjun dari tingkat satu sebuah sekolah menengah, Khamis lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.45 petang ketika sesi persekolahan petang sedang berlangsung, menyebabkan suasana sekolah bertukar gempar apabila pelajar itu ditemui terbaring dengan kecederaan di dahi dan kaki.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa mangsa kini dalam keadaan sedar serta stabil.
“Siasatan awal mendapati mangsa bertindak sedemikian akibat kemurungan selepas putus cinta dengan teman lelakinya, seorang pelajar tingkatan dua di sekolah sama,” katanya.
Menurut Mohd. Iqbal, polis turut merampas telefon bimbit mangsa dan bekas teman lelaki bagi membantu siasatan.
“Kita akan menyiasat sama ada terdapat mesej berbaur hinaan atau tekanan emosi yang mendorong mangsa bertindak sedemikian,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.










