KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkenaan kehilangan seorang gadis berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar berbuka puasa bersama puasa dengan rakannya, sejak dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dimaklumkan bertemu rakan dan berbuka puasa di luar kepada ibu saudaranya sebelum keluar.
Nornabila Abdullah dikatakan keluar dari rumah ibu saudaranya di Taman Hijrah Perdana, Kuantan pada pukul 3 petang dan berjanji akan pulang ke rumah sebelum lewat malam.
“Pada pukul 11.30 malam, ibu saudara menghubungi kakak ipar iaitu ibu Nornabila dan bertanya sama ada Nornabila pulang ke rumah itu tetapi jawapannya tiada.
“Ibu saudara cuba menghubungi Nornabila namun panggilan tidak dijawab lalu membuat laporan pada pagi ini kerana bimbang akan keselamatannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Mohd Zahari berkata, kali terakhir Nornabila dilihat hanya membawa beg silang dan berpakaian kemeja corak kotak berwarna coklat, seluar jeans biru dan kasut tumit tinggi putih.
Tambah Wan Mohd Zahari, siasatan awal mendapati tiada sebarang masalah antara Nornabila dan ibu saudaranya yang boleh menjadi motif kejadian.
”Kes diklasifikasikan sebagai Orang hilang (OH), sebelum ini OH juga tidak pernah melarikan diri sebelum ini dan kejadian ini kali pertama berlaku,” tambahnya.
Justeru beliau meminta ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja ini diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.