MELAKA: Seorang pelajar tahun akhir sebuah kolej perubatan di Melaka dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kondominium servis di Jalan Tun Perak, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.42 malam itu, mangsa berusia 24 tahun dikatakan keluar dari bilik air dalam keadaan bogel sebelum bertindak terjun dari kediamannya di tingkat tujuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa terselamat daripada maut apabila terjatuh di beranda luar di tingkat lima.
“Maklumat awal rakan serumah mangsa memaklumkan, pelajar terbabit sering mendakwa terdengar suara bisikan sebelum bertindak sedemikian. Malah, dua tahun lalu semasa berada di Muar, Johor, dia juga pernah terjun dari tingkat empat bangunan namun terselamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, mangsa yang cedera parah akibat terjatuh setinggi dua tingkat itu segera dikejarkan ke Hospital Melaka dan kini menerima rawatan di Zon Merah.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa kritikal selepas mengalami pendarahan pada bahagian otak serta keretakan tengkorak akibat hentakan.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur buli terbabit dalam kejadian ini. Malah, pelajar tersebut mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan kolejnya,” jelasnya.