KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 16 tahun dilaporkan mengalami trauma selepas menjadi mangsa cabul oleh seorang pelajar lelaki di tandas sebuah sekolah menengah di Cheras, pada Selasa lalu.
Insiden itu terbongkar apabila ibu mangsa menyedari sesuatu yang tidak kena selepas anaknya memaklumkan bahawa seorang rakan sekelas telah bertindak tidak senonoh terhadapnya di kawasan sekolah.
Difahamkan, mangsa yang ketakutan segera meninggalkan kawasan sekolah sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada ibunya.
Susulan itu, keluarga terbabit membuat laporan di Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
“Satu laporan polis telah diterima dan siasatan masih diteruskan,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Kes kini disiasat bagi mengenal pasti punca dan kronologi kejadian sebenar termasuk motif pelajar lelaki terbabit.










