MELAKA: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada semalam menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun dan sembilan sebatan terhadap seorang lelaku selepas mengaku salah terhadap 17 pertuduhan rogol, liwat, melakukan seks menggunakan objek, dan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuan.
Malaysia Gazette melaporkan keputusan itu menyusul selepas mahkamah sama pada 7 Julai lalu, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadapnya, atas empat kesalahan merogol dan satu amang seksual terhadap adik mangsa.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah hari ini, juga memutuskan lelaki berusia 31 tahun itu menjalani kaunseling pemulihan selepas tamat hukuman dan diletakkan di bawah pengawasan polis tiga tahun berkaitan pesalah seksual terhadap kanak-kanak.
Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku akhir November 2022 kira-kira 1.30 pagi apabila tertuduh memasuki bilik tidur mangsa, lalu menekup mulutnya dengan tuala selain mencabul kanak-kanak itu yang cuba melarikan diri sebelum merogolnya.
Menurut Harian Metro, kejadian itu berlaku beberapa kali dan kali terakhir pada 13 Julai 2023 kira-kira 1 pagi, namun mangsa tidak menceritakannya kepada sesiapa termasuk nenek dan adiknya yang tinggal bersama kerana takut.
Mangsa akhirnya dengan dibantu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Melaka Tengah nekad membuat laporan polis, selepas adiknya berusia 11 tahun lima bulan juga menjadi mangsa kepada tertuduh.
Tertuduh didakwa masing-masing atas empat pertuduhan merogol, melakukan seks dengan menggunakan objek, dan meliwat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika kejadian serta lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa sama.
Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tanah Merah, Krubong pada tarikh dan masa berbeza iaitu akhir November 2022, pertengahan Januari 2023, 11 dan 23 Feb 2023, dan 13 Julai 2023, antara 11 malam hingga 2 pagi.
Bagi pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, Rohatul menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.
Untuk empat pertuduhan merogol, iaitu tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan (KK) tertuduh dikenakan penjara 22 tahun dan satu sebatan setiap pertuduhan dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 376(2)(d) KK, penjara 22 tahun dan dua sebatan.
Seterusnya, bagi empat kes Seksyen 377C KK, tertuduh dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun penjara dan satu sebatan setiap pertuduhan manakala kesalahan seks menggunakan objek, penjara tujuh tahun.
Namun, Rohatul memerintahkan tertuduh menjalani hukuman pemenjaraan bermula dari tarikh ditangkap pada 18 Ogos 2023, sekali gus tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 22 tahun dan sembilan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berbentuk pengajaran atas keseriusan 17 kesalahan seksual dilakukan terhadap kanak-kanak berkenaan, namun tertuduh yang bekerja memasang kanopi dan katering merayu hukuman ringan kerana sudah insaf.