KUALA LUMPUR: Kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang hampir sebulan masih belum terjawab kini menimbulkan kebimbangan lebih serius apabila wakil keluarga mendakwa wanita itu mungkin memiliki maklumat sensitif berkaitan siasatan pengubahan wang haram.
Peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo berkata, keadaan misteri kehilangan Pamela yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April lalu, bukanlah satu perkara biasa memandangkan wanita itu sedang membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Seorang wanita yang terlibat dalam siasatan sensitif berkaitan pengubahan wang haram hilang dalam keadaan sangat mencurigakan. Ini bukan kes biasa,” tegas Sangeet dalam satu kenyataan.
Beliau mempersoalkan sama ada SPRM telah menjangkakan risiko terhadap keselamatan Pamela serta sama ada agensi itu telah memaklumkan kepada pihak polis dengan segera bagi mempercepatkan siasatan.
“Jika Pamela memberikan maklumat penting dalam siasatan, dia mungkin terdedah kepada ancaman serius. Persoalannya, adakah SPRM mengambil langkah berjaga-jaga dan memaklumkan polis lebih awal?” katanya.
Sangeet turut merujuk maklumat awal siasatan bahawa kenderaan e-hailing yang membawa Pamela telah menghantarnya berhampiran bangunan SPRM di Putrajaya, sebelum wanita itu dikatakan dipintas beberapa kenderaan tidak dikenali.
“Ini menunjukkan kemungkinan dia diekori atau ada pihak yang tahu lebih awal tujuan kehadirannya ke SPRM,” jelasnya, sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan dan keaktifan pihak polis dalam menyiasat sama ada kehilangan Pamela mempunyai kaitan langsung dengan siasatan kes tersebut atau individu tertentu.
Sehubungan itu, Sangeet mendesak SPRM untuk mengesahkan bahawa semua maklumat relevan telah didedahkan kepada pihak berkuasa seawal mungkin sejak kehilangan Pamela dikesan.
“Kenyataan polis bahawa ‘tiada petunjuk’ kehilangan ini adalah tidak munasabah memandangkan semua maklumat penting termasuk pergerakan terakhir Pamela diketahui sejak awal,” katanya.
Pamela dilaporkan hilang hampir sebulan lalu dan polis setakat ini belum dapat mengesan keberadaannya.
SPRM mengesahkan wanita itu dijadualkan memberi keterangan pada hari kehilangan, manakala keluarga mendakwa dia dilihat dipintas kenderaan tidak dikenali selepas keluar dari kenderaan e-hailing.