PBT Diarah Pastikan Tiada Permit Aktiviti LGBT, Songsang Diluluskan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi jaminan tiada sebarang permit akan diluluskan bagi penganjuran program “Glamping with Pride” atau apa-apa aktiviti yang mempromosikan gaya hidup songsang melibatkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun menegaskan, aktiviti glamping biasa yang melibatkan keluarga atau orang awam masih dibenarkan seperti sedia ada.

Menurutnya, larangan itu bukan terhadap konsep glamping, sebaliknya tertumpu kepada tema dan unsur yang bercanggah dengan nilai serta titah Sultan Selangor.

“Yang jadi masalah bukan aktiviti, tetapi tema. Glamping biasa dengan keluarga tidak ada isu. Tetapi kalau berunsur songsang dan tidak boleh diterima, itu memang tidak akan dibenarkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Amirudin berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diarahkan supaya tidak meluluskan sebarang permohonan permit berkaitan aktiviti tersebut, manakala pemantauan akan dilakukan secara berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Walaupun setakat ini belum ada permohonan rasmi, arahan sudah jelas. Kalau ada yang cuba mencabar, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

Sementara itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah memaklumkan bahawa sehingga kini tiada sebarang permohonan permit diterima, dan dakwaan penganjuran hanya tersebar melalui media sosial.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan MAIS dan Mufti Selangor supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penganjuran aktiviti yang mempromosikan gaya hidup LGBT di negeri itu.

Dalam kenyataan bersama, Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir menegaskan, baginda menentang keras sebarang bentuk aktiviti songsang yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai masyarakat Selangor.

BBerkaitan

Latest articles