Pasangan Kekasih Lari Dari Sekatan Rupanya Tokan Dadah

MELAKA: Aksi kejar-mengejar dramatik sejauh 13 kilometer berakhir dengan penahanan sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Taman Bukit Rambai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian bermula sekitar jam 6 petang apabila anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cuba menahan kenderaan Perodua Myvi dinaiki suspek di Pangsapuri Taman Anika, Lorong Pandan.

Namun, pasangan tempatan berusia 26 dan 28 tahun itu enggan berhenti, malah memecut laju secara melulu dan melanggar lampu isyarat merah, sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ketika pengejaran sampai di Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai, suspek bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan dan melanggar sebuah motosikal URB yang ditunggang seorang anggota berpangkat lans koperal, menyebabkan anggota tersebut mengalami kecederaan ringan.

“Bertindak pantas, lima unit MPV polis berjaya mengepung dan memberkas kedua-dua suspek yang dipercayai pasangan kekasih dan masing-masing beralamat di Taman Anika dan Pangsapuri Sri Siantan, Bukit Baru,” kata Christopher dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan dua peket lutsinar disyaki berisi dadah jenis heroin serta sebuah alat penimbang.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis Tengkera dan direman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi ini bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, serta Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menyebabkan kecederaan.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles