KUALA LUMPUR: Bahang pemilihan PKR kian memuncak apabila tokoh muda reformasi, Nurul Izzah Anwar, dicadangkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam saingan yang dijangka mencabar penyandang sedia ada, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Cadangan tersebut disuarakan Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi, yang menyifatkan penyertaan Nurul Izzah bakal membuka lembaran baharu kepada parti dalam memacu agenda pembaharuan dan keterangkuman.
“Nurul Izzah bukan asing dalam pentas perjuangan PKR. Beliau membawa kekuatan nilai dan wawasan dengan latar belakang sebagai bekas naib presiden, bekas Ahli Parlimen dua penggal, serta aktivis hak asasi manusia,” kata Azam dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pencalonan Nurul Izzah bukan sekadar soal nama atau warisan, tetapi tentang masa depan parti agar terus relevan dan diyakini rakyat, terutamanya dalam persekitaran politik yang semakin mencabar.
Azam turut menekankan keperluan untuk PKR memiliki kepimpinan yang mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas reformasi dan generasi pelapis, serta memperkukuh kerjasama dengan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Rafizi sebelum ini telah mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan yang dijadualkan hujung bulan ini.
Ujarnya keputusan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang ketidaktentuan yang boleh memberi kesan kepada kestabilan parti dan kerajaan.
Namun, desakan perubahan dalam kepimpinan timbul apabila Ketua PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, mencadangkan agar Rafizi memberi laluan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menurutnya mempunyai pengalaman mendalam dalam perjuangan PKR sejak era awal reformasi.
Saifuddin setakat ini masih berteka-teki dan belum menyatakan pendirian sama ada akan bertanding atau tidak, meskipun tarikh tutup pencalonan semakin hampir.