KUALA LUMPUR: Kelab Naib Ketua Bahagian (NKB) 1Malaysia menyuarakan harapan agar pelaksanaan Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dapat dilaksanakan segera, selaras dengan kenyataan bersama oleh 160 Ketua UMNO Bahagian baru-baru ini.
Presiden Kelab NKB 1Malaysia, Datuk Seri Rosmadi Ismail, menyatakan bahawa pihaknya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersikap terbuka dalam mencari penyelesaian terbaik demi menjunjung prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“Datuk Seri Najib adalah tokoh negarawan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara daripada transformasi ekonomi hingga infrastruktur yang masih dinikmati rakyat hari ini. Sumbangan besar beliau tidak wajar dinafikan, dan beliau berhak mendapat layanan adil seperti mana-mana warganegara lain,” katanya kepada media selepas Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Najib di Surau Ar-Rahman, WTC, malam tadi.
Rosmadi turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang memperlekeh atau mempertikai kewujudan serta kewajaran titah adendum tersebut.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beradab terhadap institusi diraja, malah mencabar prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang sistem demokrasi negara ini. Kelab NKB 1Malaysia kekal setia menjunjung institusi raja, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan sejati,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, titah yang telah disampaikan sewajarnya dilaksanakan tanpa berlengah, selaras dengan prinsip bahawa “keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan.”
Sementara itu, Naib Ketua Bahagian UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib, turut menggesa agar titah adendum tersebut segera dilaksana.
“Titah ini bukan perkara baru. Ia sudah disebut secara jelas oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. Sampai bila isu ini hendak dibiarkan tergantung? Jika tiada tindakan diambil, saya bimbang akan wujud persepsi negatif terhadap kerajaan hari ini,” ujar beliau yang juga anak kepada Najib.
Beliau menegaskan bahawa jika kerajaan sebelum ini menjunjung titah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tanpa bantahan, maka tidak sepatutnya timbul soal keberatan untuk melaksanakan titah adendum yang sama penting dari segi prinsip keadilan dan penghormatan terhadap institusi raja.
“Apa bezanya kita laksana titah untuk tubuh kerajaan dengan titah adendum ini? Keduanya datang dari sumber yang sama institusi yang kita junjung,” tambah beliau.