SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 kepimpinan tertinggi syarikat itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atas pertuduhan pilihan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Pengakuan itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam prosiding yang dijalankan di Kompleks Penjara Kajang.
Kesemua tertuduh sebelum ini berdepan tuduhan lebih berat iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, namun pertuduhan ditukar selepas representasi mereka diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mereka kini didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Hakim kini sedang mendengar rayuan pasukan pembelaan bagi pengurangan hukuman.
Antara yang turut mengaku bersalah ialah isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof, 58, dan anak kepada pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33.
Lapan daripada tertuduh ialah wanita berusia antara 28 hingga 72 tahun, manakala selebihnya 11 lelaki termasuk beberapa individu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi tersebut.
Sebelum ini, pada 23 Oktober 2024, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga September 2024 di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.










