KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan penggunaan istilah seperti Muslim Choice yang diperkenalkan mana-mana pihak bukanlah tanda halal yang sah atau diiktiraf kerajaan.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Suhaimee, berkata tindakan memperkenalkan istilah itu, seperti yang dilakukan Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW), berisiko menimbulkan kekeliruan serius dalam kalangan pengguna Muslim mengenai status halal produk dan premis yang terlibat.
Menurutnya, MFW mendakwa pengiktirafan berkenaan diberikan kepada produk atau premis yang memenuhi piawaian kebersihan, keselamatan dan prinsip Islam, namun hakikatnya ia tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang.
“Jakim mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan sebarang logo, simbol, istilah atau kenyataan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan rasmi daripada Jakim atau pihak berkuasa agama negeri (MAIN/JAIN),” tegasnya.
Sirajuddin menjelaskan bahawa berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya Jakim serta MAIN atau JAIN diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan membenarkan penggunaan Logo Halal Malaysia.
“Sebarang percubaan menggunakan istilah atau logo lain yang memberi gambaran halal tanpa kelulusan Jakim adalah tidak sah dan melanggar peraturan. Ia turut menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara serta mengelirukan pengguna,” katanya lagi.
Beliau turut mendedahkan bahawa Jakim pernah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos tahun lalu dan menasihatkan agar pengiktirafan “Muslim Choice” dihentikan kerana berpotensi mencetuskan kekeliruan awam.
“Namun, berdasarkan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW masih meneruskan tindakan itu,” ujarnya.
Jakim menegaskan pihaknya akan terus memantau dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan hanya pengesahan halal yang sah dan diiktiraf digunakan di Malaysia.










