Muhyiddin Tak Pernah Jumpa Saya Nak Pecat Hamzah – Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menafikan dakwaan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah menemui beliau untuk mendapatkan nasihat berhubung rancangan menyingkirkan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Memetik responnya kepada Free Malaysia Today (FMT), Mahathir menegaskan tiada sebarang pertemuan berlaku seperti yang didakwa bekas Ketua Bersatu Ipoh Timur, Fadhli Ismail, yang sebelum ini mendakwa perbincangan antara Muhyiddin, Mahathir, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah diadakan bagi membincangkan nasib Hamzah.

“Tidak, Muhyiddin tak datang jumpa saya untuk minta nasihat nak pecat Hamzah. Sama sekali tidak,” tegas Mahathir.

Bekas Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau tidak menyokong mana-mana kem dalam parti dan menolak sebarang bentuk kepuakan politik, sambil menegaskan matlamat utamanya ialah menyatukan orang Melayu, bukan memecah-belahkan mereka.

“Saya tak mahu beza antara pengikut Muhyiddin atau Hamzah. Mereka semua orang Melayu. Kalau mahu perpaduan, kena terima kedua-dua pihak,” katanya.

Mahathir turut mendedahkan bahawa kedua-dua pemimpin itu sebenarnya berkongsi pandangan sama mengenai keperluan memperkukuh perpaduan Melayu, namun masing-masing kini lebih menumpukan kepada masa depan politik sendiri.

Krisis dalaman Bersatu semakin meruncing selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024, apabila Muhyiddin mendakwa wujud gerakan menyingkirkannya, manakala Hamzah menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan kesetiaannya kepada presiden.

Pergolakan itu membawa kepada tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin, termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

BBerkaitan

Latest articles