MKT Mungkin Bincang Status Penggantungan Hishammuddin Pada Isnin

KUALA LUMPUR: Status penggantungan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dijangka menjadi antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Isnin ini.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu akan dibawa ke meja perbincangan sekiranya ia dibangkitkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Isu ini perlu mengikut prosedur yang betul. Keputusan asal untuk menggantung beliau dibuat oleh MKT, jadi sebarang keputusan lanjut mesti dibincangkan menerusi MKT. Jadi, kita tunggu Isnin ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bachok hari ini.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Sembrong mengusulkan supaya penggantungan Hishammuddin ditarik semula, dengan alasan pengalaman luas beliau diperlukan untuk memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun atau dua penggal pemilihan MKT bermula 27 Januari 2023, susulan keputusan yang dibuat oleh MKT ketika itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Onn Hafiz dilaporkan akan membawa usul berkenaan ke mesyuarat MKT akan datang bagi mempertimbangkan semula penggantungan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles