PUTRAJAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyambut baik keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan kadar tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25% kepada 19%, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyifatkan pengurangan tarif ini sebagai kejayaan penting hasil rundingan dua hala sejak 6 Mei lalu yang berakhir secara rasmi pada 31 Julai.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan AS terhadap Malaysia sebagai rakan dagang kukuh serta kejayaan negara mempertahankan dasar utama tanpa mengorbankan hak kedaulatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tarif baharu ini memberi kelegaan kepada pengeksport tempatan dan menunjukkan kekuatan hubungan ekonomi Malaysia-AS yang telah terjalin lebih enam dekad.
MITI turut menegaskan bahawa rundingan tersebut mengekalkan pendirian negara dalam isu-isu utama, tanpa menjejaskan dasar sosioekonomi.
Malaysia kini giat melaksanakan pembaharuan industri melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Nasional Semikonduktor, khususnya dalam membantu PKS beralih kepada automasi dan teknologi baharu.
Dalam masa terdekat, MITI akan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri bagi menjelaskan pelaksanaan tarif baharu.
AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai mencecah RM198.65 bilion dan pelaburan asing diluluskan sebanyak RM32.82 bilion pada 2024.