KUALA LUMPUR: Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung hampir tiga jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) hari ini mencetuskan tanda tanya apabila barisan kepimpinan tertinggi parti itu memilih untuk tidak mendedahkan sebarang perincian kepada media.
Mesyuarat yang bermula sekitar jam 4 petang itu berakhir tanpa sebarang kenyataan rasmi, apabila pemimpin UMNO dilihat beredar melalui pintu utama bangunan sambil mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan mengenai agenda perbincangan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh berkata sebarang makluman akan disampaikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, selaras dengan tatacara dan disiplin mesyuarat parti.
Nada sama ditunjukkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang hanya memberi respons ringkas ketika diasak media.
Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, selain Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Difahamkan, pertemuan tertutup itu antara lain membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah, selain persiapan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan.
Perkembangan itu hadir susulan pendirian tegas Pemuda UMNO pada Konvensyen Khas sayap parti itu, Sabtu lalu, yang menolak sebarang usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan melalui tindakan ‘menebuk atap’.
Namun, Mohamad Akmal sebelum ini mencetuskan perbincangan apabila menggesa UMNO mempertimbangkan untuk keluar daripada kerajaan dan mengambil peranan sebagai pembangkang.










