PETALING JAYA: Suasana Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi bertukar hening dan mengejutkan apabila ibu kepada arwah Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, mendedahkan makna sebenar di sebalik mesej kontroversi berbunyi “lantaklah nak hidup ke nak mati” yang dihantarnya pada hari kehilangan tragis kanak-kanak autisme itu.
Ketika membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak hingga menyebabkan kecederaan fizikal, Ismanira menjelaskan bahawa mesej tersebut bukan ditujukan kepada Zayn Rayyan, tetapi merupakan luahan tekanan terhadap dirinya sendiri.
“Saya cemas dan tertekan… Saya sangat perlukan suami saya ketika itu. Mesej itu saya hantar agar dia segera pulang membantu saya mencari anak kami. Ayat itu bukan ditujukan pada anak, tapi pada saya sendiri,” katanya dengan nada tenang namun sesekali sebak ketika menjawab soalan peguam bela, Haresh Mahadevan.
Pendedahan itu mencetuskan reaksi pelbagai di galeri awam, ada yang terkejut, ada yang menggeleng kepala, malah kedengaran juga bisik-bisik dalam kalangan hadirin.
Hakim Dr Syahliza Warnoh dilihat turut memerhati reaksi tertuduh dengan teliti.
Perbualan mesej WhatsApp yang mencetuskan kontroversi itu dikemukakan sebelum ini sebagai bukti utama oleh pihak pendakwaan, hasil analisis forensik terhadap dua telefon milik pasangan suami isteri berkenaan.
Ia dikesan melalui akaun iCloud milik Ismanira dan akaun Google milik suaminya, Zaim Ikhwan Zahari.
Ketika sesi terdahulu pada 7 April, Asisten Supritendan Mohd Zaidi Abu Hassan dari Unit Siasatan Jenayah Komputer menjelaskan bahawa mesej itu antara kandungan perbualan yang berjaya diekstrak.
Walaupun kedua-duanya sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mahkamah telah melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.
Ismanira bagaimanapun terus membela diri dalam perbicaraan yang dijadual bersambung pada 4 Ogos depan.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 5 dan 6 Disember 2023 di sekitar Blok R, Apartment Idaman hingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi di mana jasad kecil Zayn Rayyan ditemui, mencetuskan duka mendalam seluruh negara.
Jika sabit kesalahan, Ismanira berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali.