HULU SELANGOR: Mayat seorang lelaki dalam keadaan mengerikan, dengan tangan dan kaki diikat serta kepala dibalut kain, ditemui di tepi landasan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) berhampiran Sungai Serian, Kalumpang, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam sekitar jam 10.30 pagi yang memaklumkan penemuan mayat berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mayat itu tidak dikenal pasti identitinya, dalam keadaan mula mereput dan dipenuhi ulat. Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih empat hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih mengejutkan, semakan polis mendapati mangsa dipercayai dicampak dari jambatan Kampung Serian yang berketinggian lebih 11 meter.
“Tangan dan kaki si mati diikat, manakala kepala dibalut kain yang dililit pita pelekat berwarna hitam dan putih. Kes ini disyaki mempunyai unsur jenayah berat,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat yang dijadualkan Jumaat pada jam 9 pagi.
Polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadli Abdul Aziz di talian 03-6064 1222 atau hadir ke balai polis berhampiran.